PINDAHMILIK

Apa itu Pindah Milik Pegangan Berkadar (Borang I/J)?

Mengikut Seksyen 160, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), (1) Apabila sesuatu pegangan berkadar dalam sesuatu kawasan pihak berkuasa tempatan dijual atau dipindah milik maka adalah menjadi kewajipan penjual atau pemindah milik dan pembeli atau penerima pindah milik dalam tempoh tiga bulan selepas jualan atau pindah milik itu memberi notis mengenainya kepada pihak berkuasa tempatan dalam Borang I dalam Jadual Pertama kepada Akta ini. (2) Apabila pemunya sesuatu pegangan berkadar dalam sesuatu kawasan pihak berkuasa tempatan mati, maka adalah menjadi kewajipan orang yang menjadi pemunyanya melalui warisan atau selainnya memberi notis mengenainya kepada pihak berkuasa tempatan dalam tempoh satu tahun selepas kematian itu dalam Borang J dalam Jadual Pertama kepada Akta ini. (3) Jika didapati gagal mengemaskini, boleh didenda tidak melebihih RM 2,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya.


Apa itu Penyata Pemilik?

Mengikut Seksyen 140 Akta 171, 140. (1) Untuk membolehkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mentaksirkan nilai pegangan-pegangan yang kena ditaksirkan, PBT boleh menghendaki pemunya atau penduduknya memberi penyata-penyata mengenai luasnya, tempat letaknya, kualiti, guna dan sewanya dan memberi segala maklumat yang perlu untuk menyediakan Senarai Nilaian atau pun bagi maksud nilaian itu, dan bagi maksud yang serupa PBT atau seseorang yang dilantik olehnya bagi maksud itu boleh, pada bila-bila masa memasuki dan memeriksa dan jika perlu, mengukurnya. (2) Seseorang yang: (a) enggan atau tidak memberi penyata atau maklumat itu dalam tempoh dua minggu dari tarikh diterima notis menghendakinya berbuat demikian; (b) dengan diketahuinya membuat suatu penyata palsu atau tidak betul atau memberi suatu maklumat palsu atau tidak betul; (c) merintangi, menghalang atau menahan PBT atau seseorang yang dilantik olehnya daripada memasuki, memeriksa atau mengukur mana-mana pegangan itu. Boleh apabila disabitkan dikenakan denda tidak lebih daripada RM 2,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih daripada enam bulan atau denda dan penjara itu kedua-duanya.




RAYUAN/BANTAHAN


Alasan-alasan bantahan diperuntukkan di bawah seksyen 141 Akta Kerajaan Tempatan 1976

adalah seperti berikut (Sila pilih yang berkenaan)


a)Bahawa sesuatu pegangan yang baginya dia dikenakan kadar adalah dinilai lebih daripada nilainya yang boleh dikenakan kadar (cukai taksiran dinilai oleh MPKB lebih dari sepatutnya (Mahal))


b)Bahawa sesuatu pegangan yang dinilai adalah pegangan yang tidak boleh dikenakan kadar (cukai taksiran tidak sepatutnya dikenakan ke atas pegangan tersebut)


c)Bahawa seseorang atau sesuatu pegangan yang sepatutnya termasuk dalam Senarai Nilaian itu adalah ditinggalkan daripadanya (Pegangan tersebut sepatutnya dikenakan cukai taksiran tetapi tidak dikenakan oleh MPKB)


d)Bahawa sesuatu pegangan adalah dinilai kurang daripada nilainya yang boleh dikenakan kadar (Cukai Taksiran yang dinilai oleh MPKB kurang dari yang sepatutnya (Murah) atau


e)Bahawa sesuatu pegangan atau pegangan-pegangan yang telah dinilai secara bersesama atau berasingan sepatutnya dinilai secara lain. (Pegangan tersebut perlu dikenakan cukai taksiran secara berasingan atau bersekali)


Segala bantahan perlu disiasat (lawat periksa) & disemak semula.

REBATE

Adakah cukai taksiran dikenakan bagi bangunan yang tidak diduduki atau kosong?

Ya, cukai taksiran tetap dikenakan walaupun sesebuah bangunan atau rumah itu kosong. Walaubagaimanapun, jika bangunan tersebut kosong dan untuk disewakan, maka para pemilik bolehlah memohon agar bayaran cukai taksiran mereka dipulangkan. Proses ini dipanggil pulangan balik hasil.


Jika sesuatu bangunan tidak diduduki dan tiada apa-apa sewa kena dibayar mengenainya selama tempoh tidak kurang dari satu bulan kalendar dalam mana-mana setengah tahun yang mengenainya suatu kadar telah dibayar pihak berkuasa tempatan boleh memerintahkan supaya sebahagian daripada kadar itu yang seimbang dengan tempoh bangunan itu tidak diduduki dipulangkan balik atau diremit, mengikut mana-mana yang berkenaan.


Anda boleh membuat permohonan pulangan balik cukai harta/remisi sekiranya bangunan yang dimilik oleh anda TIDAK DIDIAMI/KOSONG dan masih dalam keadaan baik untuk didiami. Anda layak diberi remisi sekiranya memenuhi syarat-syarat sebagaimana Seksyen 162, Akta Kerajaan Tempatan 1976.


Syarat-syarat permohonan boleh dipertimbangkan

1) Bangunan dalam keadaan baik

2) Usaha dapatkan penyewa telah dibuat

3) Menawarkan harga sewa yang berpatutan

4) Memastikan bangunan adalah kosong sepanjang tempoh masa remisi dituntut

5) Memastikan cukai taksiran telah dijelaskan